SEJARAH PENUBUHAN TLDM

27 April 1934


Sejarah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bermula dengan penubuhan Pasukan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve (SSNVR) di Singapura pada 27 April 1934.  Oleh kerana keadaan politik semasa yang tidak stabil pada ketika itu iaitu selepas Perang Dunia Pertama, sebagai permulaaan Kerajaan British telah menubuhkan Pasukan SSNVR untuk mempertahankan Singapura sahaja.

27 April 1934

Oktober 1938


Setelah penubuhan Pasukan SSNVR Singapura berjalan lancar, satu cawangan baru telah ditubuhkan di Pulau Pinang pada Oktober 1938.  Pada mulanya, cawangan ini dinamakan SSNVR Pulau Pinang.  Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian nama SSNVR ditukar kepada Pasukan Malayan Royal Naval Volunteer Reserve (MRNVR) Pulau Pinang.


 

4 September 1939



Pada 4 September 1939, anggota Pasukan MRNVR telah dikerah bertugas sepenuh masa bagi menghadapi serangan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.  Bagi menyelesaikan masalah kekurangan anggota, Kerajaan British terpaksa membuat pengambilan anggota-anggota baru yang terdiri dari belia Melayu untuk memperkuatkan pertahanan perairan Tanah Melayu.  Lanjutan dengan itu, sebuah pasukan baru telah ditubuhkan pada September 1939 dan dikenali sebagai Royal Navy Malay Section atau nama ringkasnya Royal Malay Navy, atau lebih singkat lagi dikenali sebagai Malay Navy sahaja.
 

4 September 1939

26 Februari 1946


Selepas tamat Perang Dunia Kedua, MRNVR telah dibubarkan pada 26 Februari 1946 dan Royal Malay Navy pula dibubarkan pada Mac 1947.

21 Januari 1948

Pada 21 Januari 1948, satu perjanjian di antara Kerajaan Tanah Melayu dengan Kerajaan Singapura telah dimeterai untuk menubuhkan sebuah pasukan tentera laut.  Penubuhannya merupakan satu usaha ke arah pertahanan Semenanjung Tanah Melayu dan juga Singapura.  Selain itu, penubuhan tentera laut itu juga sebagai usaha bagi membendung kegiatan dan ancaman komunis yang mula merebak ke seluruh Tanah Melayu. 
 

21 Januari 1948

24 Disember 1948



Pada 24 Disember 1948, Majlis Mesyuarat Undangan Singapura mewartakan Malayan Naval Force Ordinance 1948 yang mengesahkan penubuhan sebuah pasukan tentera laut.  Pasukan ini dinamakan sebagai Malayan Naval Force (MNF).

29 Ogos 1952

Setelah wujud kira-kira tiga tahun, Pasukan MNF mencatatkan satu lagi sejarah pada 29 Ogos 1952, apabila ia dianugerahkan taraf “Diraja” oleh Ratu British, Queen Elizabeth II.  Sejajar dengan penganugerahan taraf Diraja itu, nama MNF telah ditukar kepada Royal Malayan Navy.  Upacara penukaran nama pasukan telah diadakan dengan menaikkan bendera putih lambang Royal Malayan Navy buat pertama kalinya bagi menggantikan bendera biru Royal Navy.

29 Ogos 1952

31 Ogos 1957


Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bercadang mengambil alih Pasukan Royal Malayan Navy dari Singapura bagi tujuan pertahanan perairannya. Setelah proses perbincangan selesai, Singapura kemudian bersetuju untuk menyerahkan Royal Malayan Navy kepada Persekutuan Tanah Melayu. Dewan Undangan Persekutuan telah meluluskan rang undang-undang Tentera Laut Diraja Malaya untuk membolehkan Persekutuan menubuhkan tentera lautnya sendiri. 

12 Julai 1958


Pada 1 Julai 1958, Royal Malayan Navy secara mutlak menjadi hak milik Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan mula dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaya.  Upacara penyerahan dilaksanakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaya, Woodlands, Singapura pada 12 Julai 1958.  Mulai dari tarikh tersebut juga, semua kapal dan pangkalan mula menggunakan awalan yang baharu iaitu Kapal Diraja (KD).

12 Julai 1958

16 September 1963


Pembentukan Malaysia telah berlaku dengan penggabungan Singapura, Sabah dan Sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.  Sejak dari itu, Tentera Laut Diraja Malaya telah dinamakan semula sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia.

© 2020. RMN SPC. All Rights Reserved.

Search