Image
Image
Image
Image
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memulakan era operasi udaranya apabila enam buah pesawat WASP HAS MK 1 dibeli dari Tentera Laut Diraja British pada penghujung tahun 1987. Bermula dengan penubuhan Cawangan Udara TLDM pada tahun 1988, satu Unit Udara TLDM yang dinamakan KD RAJAWALI ditauliahkan pada 11 Mei 1990 oleh Panglima Tentera Laut ketika itu iaitu Laksamana Madya Tan Sri Abdul Wahab bin Hj Nawi. Semenjak itu, armada TLDM telah mendapat bantuan latihan dan operasi udara yang sangat diperlukan sebelum ini.
 
Dengan kehadiran pesawat WASP ini, TLDM telah dapat melatih juruterbangnya untuk melaksanakan pelbagai tugas operasi maritim dengan armada TLDM. Helikopter ini mampu melaksanakan tugas seperti surface surveillance, over the horizon targetting, load lifting dab personnel transport. Sepanjang perkhidmatan dalam TLDM helikopter ini juga telah melaksanakan banyak penerbangan ehsan dari Lumut ke Ipoh dan ke Kuala Lumpur.
 
Helikopter WASP ini ditempatkan di kapal-kapal TLDM dalam jangka waktu tertentu untuk sesuatu operasi bersama dua orang penerbang dan tujuh orang pakar teknikal. Helikopter ini adalah dalam kategori helikopter ringan dan dilengkapi dengan satu enjin serta peralatan radio UHF dan VHF untuk berkomunikasi dengan pangkalan dan kapal. Semasa perkhidmatannya dalam TLDM ianya telah dilengkapkan dengan peralatan navigasi Global Positioning System (GPS) untuk memudahkan panduarah pesawat.
 
Dengan kemampuan dan jangkamasa penerbangan yang terhad, helikopter WASP telah memberi khidmat yang terbaik kepada TLDM. Setelah 11 tahun berlalu, pesawat WASP telah mengekalkan rekod keselamatan penerbangan yang cemerlang dan memenuhi semua penugasan yang dipertanggungjawabkan dengan jayanya. Namun begitu, perkhidmatannya terpaksa ditamatkan kerana kos operasi yang tinggi serta kesukaran mendapatkan alat ganti. Perlucutan tauliah pesawat ini telah dilakukan di KD RAJAWALI pada 21 Dis 2001 oleh Panglima Tentera Laut ketika itu iaitu Laksamana Tan Sri Abu Bakar bin Jamal. Bersesuaian dengan permodenan Angkatan Tentera Malaysia, TLDM seterusnya akan diperlengkapkan dengan helikopter baru yang serba canggih iaitu Super Lynx yang dibuat oleh GKN Westland Helicopters Limited dan Helicopter Fennec dari Perancis. Kedua-dua helikopter ini memasuki inventori TLDM pada akhir tahun 2004.
© 2020. RMN SPC. All Rights Reserved. Designed By Lt Devendraj TLDM

PUSMAS TLDM
(RMN Sea Power Center)
Jalan Sultan Yahya Petra
54100 KUALA LUMPUR

03 - 2202 7260